Advertisements
Prestasi Faisal Halim Beri Petanda Baik Kepada Selangor
Liga Super
MakanBola
Selangor FC

Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak melihat penampilan terbaru Faisal Halim memberi petanda baik kepada Selangor FC.

Selepas membuat empat penampilan di bangku simpanan, pemain sayap berusia 26 tahun itu membuat kemunculan pertama dalam kesebelasan utama Merah Kuning.

Faisal dipilih jurulatih interim, Abdi Hassan untuk bergandingan dengan Ali Olwan dan Mukhairi Ajmal untuk aksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2 November lalu.

Meskipun hanya beraksi selama 45 minit, pemain sayap Harimau Malaya itu berusaha memberi impak positif buat Selangor di atas padang.

Malah, larian lincahnya hampir menyebabkan Selangor dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-13. Faisal mendakwa bola terkena tangan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dalam kotak penalti semasa cuba menghalang hantarannya.

Walau bagaimanapun, selepas insiden tersebut disemak pegawai VAR, Ahmad Zuhadi Dzulkifli, penalti tidak diberi kepada Merah Kuning. Faisal kemudiannya digantikan Aliff Izwan Yuslan pada separuh masa kedua.

Aliff tidak menunggu lama untuk mencipta impak segera buat Selangor dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-46.

Zaquan menganggap prestasi yang dipamerkan Faisal dalam aksi Kedah-Selangor sebagai baik. Meskipun masih ada sedikit karat dari segi persembahannya, beliau melihat itu perkara normal selepas berehat lama akibat kecederaan.

Zaquan percaya sekiranya Faisal dapat menambah minit permainannya, tidak mustahil beliau akan kembali mengecapi prestasi terbaiknya.

“Saya setuju. Sebelum perlawanan tadi, saya tak mengharapkan beliau bermain dengan begitu baik untuk separuh masa pertama.

“Dari segi kredibiliti beliau, kita tahu beliau ada kualiti dan sebagainya. Tapi untuk saya, saya lebih kepada berapa lama beliau boleh beraksi pada malam ini.

“Sebab kita tahu beliau tidak beraksi begitu lama untuk kesebelasan utama. Hanya masuk (sebagai pemain gantian) lima hingga 10 minit terakhir. Jadi, saya rasa untuk 45 minit pertama ini, cukup bermakna buat beliau,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.

Kemenangan tipis 1-0 ini membantu Selangor merapatkan jurang dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) kepada lima mata.

Kini, fokus Merah Kuning beralih pula kepada saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Selangor bakal menentang Jeonbuk Hyundai Motors untuk aksi keempat Kumpulan H pada 7 November ini.