Pasukan gergasi Jepun, Kawasaki Frontale berada prestasi yang cukup membimbangkan menjelang sepak mula Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
Bekas pasukan bintang Thailand, Chanatip Songkrasin ini kini dilihat terumbang-ambing setelah mengalami beberapa siri kekalahan dalam liga.
Sungguhpun berjaya menamatkan saingan di tempat kedua musim lalu, pencapaian hebat tersebut gagal diulangi oleh pasukan bimbingan Toru Oniki.
Kawasaki hanya mencatatkan dua kemenangan dalam 5 aksi terakhir liga sekaligus menyaksikan mereka terpelosok di tangga ke-9 J1 League selepas 23 perlawanan.
Malah, siri kecederaan yang melanda penyerang utama pasukan, Leandro Damiao yang semakin lanjut usia menjejaskan prestasi pasukan.
Keputusan ketua jurulatih untuk meletakkan penyerang muda, Shin Yamada pada musim ini seakan tidak membuahkan hasil apabila hanya meledak dua gol dalam 20 penampilan liga.
Kekecewaan berterusan apabila Kawasaki Frontale telah tewas 9 perlawanan sepanjang musim sekaligus merencatkan segala percaturan pasukan.
Keadaan ini sudah pasti memberi tamparan yang amat besar kepada pasukan menjelang sepak mula ACL tidak lama lagi sungguhpun telah membawa masuka bekas peledak berbisa Al-Hilal, Bafétimbi Gomis untuk menambah sengat pasukan.
Kawasaki Frontale akan mengiringi dua lagi pasukan, Yokohama F. Marinos dan Ventforet Kofu selaku wakil Jepun ke Asia musim ini yang akan bermula pertengahan September.