Susulan kecederaan yang menimpa penjaga gol utama Real Madrid, Thibaut Courtois, Los Blancos dilaporkan sedang memburu penjaga gol Sevilla dan Maghribi, Yacine Bounou.
Akhbar Marca melaporkan Bounou kini dicanang sebagai pengganti jangka pendek Courtois yang perlu berehat lama akibat kecederaan ACL. Bekas penjaga gol Atletico Madrid itu menjadi pilihan kerana Real Madrid tidak mahu berbelanja besar dalam mendapatkan penjaga gol baru.
Ini susulan mereka telah berbelanja besar dalam pasaran perpindahan sebelum ini termasuk memuktamadkan perpindahan bintang muda England, Jude Bellingham.
Khabar angin perpindahan ini juga dijangka menggembirakan Sevilla yang kini berdepan masalah kewangan yang teruk. Akibat masalah ini, mereka berdepan masalah mendaftarkan pemain baru menjelang musim baru La Liga.
Begitupun, Los Blancos dilaporkan keberatan membayar yuran perpindahan sebanyak €20 juta (RM100 juta) untuk mendapatkan khidmat Bounou. Justeru, kelab sedang menimbang sasaran lain termasuk ejen bebas David de Gea dan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.
Dan berdasarkan laporan terbaru wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano, Los Blancos mula berhubung dengan Blues berkenaan situasi Kepa.
Bagaimanapun, Real Madrid perlu pantas kerana khidmat bekas penjaga gol Athletic Bilbao itu turut diintai Bayern Munich. Die Roten bakal memberi fokus kepada Kepa selepas memuktamadkan perpindahan Harry Kane.
Nama Bounou menjadi tumpuan kerana membantu Maghribi meraih tempat keempat Piala Dunia 2022. Beliau juga berkesempatan menjulang Liga Europa bersama Sevilla pada musim lepas.