Prestasi pengadil dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 dilihat lebih cemerlang berbanding pada musim 2023.
Pandangan itu dibuat Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ S. Sivasundaram apabila diminta mengulas prestasi pengadil pada musim lalu.
Sivasundaram menyifatkan prestasi pengadil pada musim 2024/25 sebagai cemerlang. Ini kerana badan induk itu hanya menerima lima aduan tentang mutu pengadilan.
Lima aduan itu terdiri daripada empat perlawanan Liga Super dan satu perlawanan Piala Malaysia. Selain itu, penilaian VAR dan tahap pematuhan protokol VAR juga disifatkan amat baik.
“Daripada 208 perlawanan, Pengadil VAR telah membuat sebanyak 1,255 semakan (tidak termasuk ‘Silent Check’). Daripada 1,255 semakan VAR, sebanyak 101 semakan melibatkan ‘On Field Rieview’ (OFR).
“Ini bermakna penggunaan teknologi VAR tidak mengganggu kelancaran permainan. Analisa data juga menunjukkan musim lalu sebanyak 647 gol dijaringkan yang mana semua gol tersebut telah disemak oleh Pengadil VAR sebelum disahkan.
“Sebanyak 64 gol dijaringkan melalui sepakan penalti dan ia telah disemak oleh Pengadil VAR sebelum disahkan penalti,” katanya.
Sivasundaram turut menyifatkan penggunaan VAR membantu pengadil Malaysia menjadi lebih baik dari segi mutu pengadilan.
“Jumlah aduan pada musim 2024-2025 berkurangan pada 2.24% berbanding dengan 4.15% pada musim 2023-2024.
“Manakala, ketepatan keputusan pengadil di padang bagi musim 2024-2025 bertambah baik dengan kadar 98.07% berbanding musim 2023-2024 dengan kadar 88.76%,” ujarnya.
Sivasundaram turut menyifatkan VAR bukan saja membantu meningkatkan mutu pengadilan bola sepak Malaysia. Malah, ini turut membuka ruang kepada pengadil negara menjadi pengadil perlawanan AFC dan FIFA.
Antara pengadil yang diberi peluang mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa ialah Nazmi Nasaruddin, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Usaid Jamal.