Dua pengadil Malaysia bakal menggalas tugas untuk mengemudi aksi final Vietnamese National Football Cup 2024/25.
Portal TheThao247 melaporkan Razlan Joffri Ali dan Muhammad Usaid Jamal dipilih untuk perlawanan berkenaan.
Mereka dipilih selepas menunjukkan prestasi baik dalam perlawanan playoff V. League antara Truong Tuoi Binh Phuoc dan SHB Da Nang pada 27 Jun lalu.
Perlawanan tersebut menyaksikan Razlan menggalas peranan sebagai pengadil. Usaid pula bertugas sebagai pegawai VAR.
Prestasi mereka mendorong Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dan pengelola V. League, Vietnam Professional Football (VPF) memilih Razlan dan Usaid mengemudi aksi final Vietnamese Cup.
Kedua-duanya dijangka memainkan peranan berbeza dalam aksi tersebut. Usaid bakal menggalas tugas sebagai pengadil dengan Razlan pula sebagai pegawai VAR.
Aksi ini bakal menentukan siapa wakil Vietnam dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2025/26. Final Vietnamese Cup bakal menemukan Song Lam Nghe An FC (SLNA) dan Cong An Ha Noi FC (CAHN).
Seandainya CAHN bergelar juara, mereka bakal meraih trofi pertama buat jurulatih berdarah Brazil-Jerman, Mano Polking. Ini sekaligus menebus kekecewaan tewas di pentas final Shopee Cup.
SLNA pula berpeluang bergelar juara Vietnamese Cup buat kali pertama sejak 2017.
Meskipun begitu, kelab itu tidak akan dapat beraksi dalam ACL2 musim depan jika bergelar juara. Ini kerana SLNA tidak memiliki Lesen AFC yang diperlukan untuk beraksi di Asia.