Asia Tenggara

Buriram United Pecat Mario Silva Selepas Dua Bulan

Mario Silva Buriram United 1 Buriram United Pecat Mario Silva Selepas Dua Bulan
Buriram United
Advertisements

Jodoh jurulatih Portugal, Mario Silva bersama kelab gergasi Thailand, Buriram United hanya bertahan selama dua bulan.

Buriram mengambil langkah memecat jurulatih berusia 49 tahun itu susulan prestasi tidak memuaskan pasukan itu.

Pengumuman tersebut dibuat pengurusan kelab itu menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Buriram United FC ingin mengucapkan terima kasih kepada Mario Silva atas tempohnya sebagai sebahagian daripada skuad Thunder Castle dan mengucapkan lebih banyak kejayaan dalam perjalanan bola sepak (seterusnya),” kata kelab dalam satu kenyataan.

Silva dibawa masuk pada awal September lalu menggantikan jurulatih sebelumnya, Mark Jackson.

Beliau hanya sempat membimbing Buriram mengharungi 10 perlawanan. Beliau merekodkan empat kemenangan, empat keputusan seri dan dua kekalahan.

Kedudukan Silva mula berisiko selepas Buriram mengalami kekalahan mengejut 3-2 di tangan Sisaket United.

Selain itu, Thunder Castle juga hanya mengutip dua mata selepas mengharungi tiga aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Buriram turut berada di tangga ketiga liga Thailand dengan 13 mata, dua mata di belakang pendahulu, Port FC.

Sehingga artikel ini ditulis, Thunder Castle masih belum menyatakan siapa calon pengganti untuk mengisi kerusi panas kelab berkenaan.