Kehebatan program pembangunan akar umbi Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) menarik perhatian kelab A-League, Sydney FC dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Ini selepas Johor Southern Tigers memuatnaik siri gambar pertemuan membabitkan CEO pasukan, Alistair Edwards dengan rombongan kedua-dua entiti bola sepak itu.
Kontinjen Sydney FC diketuai Pengarah Teknikal Remaja, Kelly Cross. Sementara rombongan FAS pula diketuai Ketua Projek Khas dan bekas pemain pertahanan JDT, Baihakki Khaizan.
Kehadiran dua entiti ini dianggap satu pengiktirafan kepada program pembangunan remaja JDT. Ini kerana Sydney FC melahirkan ramai pemain berstatus legenda seperti Harry Kewell, Brett Emerton dan Aaron Mooy.
Sementara FAS pula melihat ini sebagai peluang menambahbaik program akar umbi mereka. Ini merupakan sebahagian daripada kerjasama yang dimeterai antara FAS dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang dimeterai pada Julai lalu.
Dalam pertemuan tersebut, Edwards berkongsi pengalaman Harimau Selatan dari segi pembangunan akar umbi termasuk kemajuan pemain.
Selain itu, rombongan Sydney FC dan FAS turut dibawa meninjau kemudahan yang dimiliki JDT termasuk stadium keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).