Perkembangan baharu mengenai Stadium Shah Alam yang bakal menjalani proses perobohan tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, satu langkah kritikal diambil dalam pembangunan Stadium Shah Alam apabila beliau menyaksikan perjanjian persefahaman antara Menteri Besar Selangor (Pemerdananan) MBI Selangor dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), petang tadi.
Beliau berkata proses perobohan ini akan dijalankan dengan pemasangan dinding adang terlebih dahulu diikuti prosedur seterusnya dan beliau menjangkakan proses perobohan ini akan selesai menjelang Jun 2025.
“Dijangka proses mengambil tempoh sehingga pertengahan tahun hadapan,” katanya menerusi laporan Sinar Harian.
Tambah beliau lagi, proses pembangunan ini akan mengikuti segala prosedur dan menepati piawaian yang ditetapkan dan segala kesan-kesan dari pembangunan yang memberi kesan kepada komuniti setempat akan dimaklumkan.
“Ia menjadi model yang menggunapakai kaedah terbaik (best practices) dalam pembangunan infrastruktur.”
“Segala langkah mitigasi untuk menangani impak pembangunan akan dimaklumkan oleh pihak pemaju kepada komuniti tempatan agar proses ini berjalan sebaiknya,” katanya lagi.
Bulan lalu, Amirudin menjelaskan bahawa proses perobohan ini tidak sama sekali menggunakan peledak atau bom, sebaliknya akan dibuat secara manual dengan menggunakan mesin khas, dan mungkin mengambil masa yang lama untuk dirobohkan.
Untuk rekod, Stadium Shah Alam dibuka secara rasmi pada tahun 1994 dan ianya telah menjadi salah satu mercu tanda utama di Shah alam disebabkan saiz dan seni binanya yang mengagumkan.
Bagi memastikan stadium ini kekal gah, kerajaan negeri Selangor mengumumkan pembinaan kompleks sukan baharu termasuk pembinaan semula Stadium Shah Alam yang dijangka menelan kos ratusan juta ringgit.