Advertisements
Amiruddin Shari: Stadium Akan Dirobohkan Tapi Tak Boleh Guna Bom
Liga Super
MakanBola
Ahmad Rithauddin

Stadium Shah Alam sudah pastinya akan dikenang sebagai sebuah stadium bersejarah bagi kegemilangan dan kemegahan pasukan bola sepak Selangor dalam kancah bola sepak tempatan.

Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari mengatakan proses merobohkan Stadium Shah Alam bagi menggantikan kepada Stadium yang baharu tidak sama sekali menggunakan peledak atau bom.

Namun, proses itu akan dibuat secara manual dengan menggunakan mesin khas, dan mungkin mengambil masa yang lama untuk dirobohkan.

Menurut beliau, kerja merobohkan itu akan bermula selepas pihaknya berjaya mengalihkan sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerana jika tidak dialihkan ia akan memberikan kesan kepada penduduk yang berada di sekitar Seksyen 13, Shah Alam.

“Ya akan dirobohkan, saya akan pastikan segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu,” katanya kepada SelangorTV.

“Sekarang kita sedang ubah alirannya, kalau tidak seluruh Seksyen 13 akan bergelap,” ujarnya.

Stadium yang mampu menampung sehingga 80,300 dalam satu-satu masa dan mempunyai enam tingkat membuktikan ia merupakan antara salah sebuah stadium yang terbesar di rantau Asia Tenggara serta di Selangor.

Untuk rekod, Stadium Shah Alam dibuka secara rasmi pada tahun 1994 dan ianya ini telah menjadi salah satu mercu tanda utama di Shah alam disebabkan saiz dan seni binanya yang mengagumkan. Dibina dengan teknologi terbaru, stadium ini popular dalam penganjuran acara sukan bertaraf dunia.