Selepas memenangi Piala Dunia 2022 bersama Argentina, Lionel Messi berharap dapat tayang trofi Piala Dunia yang dimenangi di stadium PSG, Parc des Princes. Tetapi kelab gergasi Perancis itu dijangka menghalang usaha tersebut bagi mengelak reaksi negatif para penyokong.
Di pentas final Piala Dunia 2022 di Lusail, Qatar, Perancis dan Argentina terikat 3-3 dengan Messi menyumbat dua gol untuk Albiceleste sebelum dibawa ke penentuan sepakan penalti. Emiliano Martinez menafikan dua penalti Les Bleus sebelum Gonzalo Montiel menyumbat penalti kemenangan sekaligus membolehkan Argentina bergelar juara dunia buat kali ketiga.
Melihat keputusan final yang penuh drama membabitkan kedua-dua pasukan, PSG mempunyai sebab kukuh untuk tidak membenarkan ia berlaku. Salah seorang pemain yang akan terasa jika ini dibenarkan ialah Kylian Mbappe. Mbappe bukan sekadar satu-satunya pemain Perancis mewakili PSG di Piala Dunia. Bahkan, dia juga yang membawa Les Bleus ke final dan menggondol anugerah Kasut Emas kejohanan.
Justeru, suasana bilik persalinan PSG bakal menjadi janggal apabila Mbappe dan Messi kembali menyertai skuad bimbingan Christophe Galtier itu. Ini ditambah dengan kegagalan Messi menegur ramai pemain Argentina kerana mengejek bekas penyerang Monaco itu.
Ini termasuk Martinez yang beberapa kali mengejek Mbappe semasa meraikan kemenangan Albiceleste. Akibatnya, Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) telah memfailkan aduan rasmi dengan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) berkenaan hal tersebut kerana menyifatkan perbuatan Martinez sebagai tidak normal dan tiada semangat kesukanan.
PSG pastinya tidak mahu disebabkan hal ini, bekas penyerang AS Monaco itu mahu mencari angin baru. Walaupun telah memeterai kontrak baru pada musim panas lepas, masa depan Mbappe dilihat tidak menentu lebih-lebih lagi selepas mencetuskan pertelagahan dalam pasukan termasuk dengan penyerang Brazil, Neymar.
Bagi para penyokong pula, tak kiralah Messi tayang trofi atau tidak, mereka sudah nyatakan rasa marah terhadap legenda Barcelona itu susulan kekalahan Les Bleus di final. Jadi, untuk menunggu situasi kembali pulih seperti sediakala, sebarang langkah provokasi patut dicegah walaupun atas dasar meraikan kemenangan Piala Dunia.