Walaupun sudah tersingkir dari Piala AFC, PSM Makassar turun dengan misi berbeza bila menentang Sabah FC di Stadium Likas malam ini.
Ini kerana menurut jurulatih mereka, Bernardo Tavares, inilah peluang terbaik PSM mempertahankan maruah mereka sebagai juara Liga 1 Indonesia musim lepas.
Selepas dibelasah 5-2 oleh skuad Badak di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta pada Oktober lalu, Juku Eja tidak mahu maruah mereka sebagai juara liga dimalukan buat kali kedua malam ini.
“Saya pikir itu sebuah kehormatan berpartisipasi (sebagai juara Liga 1) dan bermain di kompetisi internasional seperti ini. Kami harus memberikan gambaran terakhir ini dalam kualitas terbaik.
“Kami harus merasakan ketika laga besok berakhir para pemain merasa telah memberikan yang terbaik,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan semalam seperti dilaporkan Tribun News.
Sementara itu, Tavares mengakui bukan mudah untuk mengatasi cabaran Sabah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee.
Pada masa sama, beliau meminta anak-anak buahnya agar berusaha memberi yang terbaik bila turun beraksi di Likas malam ini.
“Musim terakhir di AFC Cup PSM Makassar mengalahkan tim dari Malaysia jadi itu bukan hal yang mustahil ini memang sulit tapi bukan hal yang mustahil.
“Kami tahu peluang kami tidak terlalu besar namun kami tetap harus mencoba melakukan yang terbaik. Pemain yang akan bermain akan memberikan yang terbaik itulah yang harus kita lakukan,” ujarnya.
Kempen Piala AFC Juku Eja menyaksikan mereka merekodkan dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan setakat ini.