Bekas penyerang Real Madrid, Karim Benzema menjawab khabar angin mengenai kepulangan ke bekas kelabnya itu.
Setelah meninggalkan Real Madrid pada 2023, Benzema mengambil keputusan untuk berkelana ke Arab Saudi dan memilih Al-Ittihad sebagai kelab ke-3 dalam karier beliau.
Khamis lalu, Benzema membuat kejutan dengan bertemu pasukan Real Madrid di Jeddah dan sempat bersua muka dengan para pemain dan jurulatih, Carlo Ancelotti di sana.
Ketika ditanya oleh pihak wartawan mengenai kemungkinan untuk Benzema pulang ke Real Madrid, penyerang Perancis untuk dengan tenang tidak menolak kebarangkalian itu suatu hari nanti.
”Pulang ke (Real) Madrid? Sudah tentu. Kenapa tidak?” jawab Benzema menurut laporan Fabrizio Romano.
Walau bagaimanapun, Benzema menjelaskan beliau ketika ini selesa berada di Arab Saudi dan meminta agar bersabar dan melihat sahaja apa yang akan berlaku di masa akan datang.
”Ketika ini saya berada di Jeddah dan dalam keadaan baik, masa akan tiba dan kita lihat sahaja nanti. Saya pasti akan sentiasa dekat dengan Madrid.”
Real Madrid ketika ini berada di Arab Saudi bagi menghadapi saingan Supercopa de Espana dan berhasil layak ke pentas final setelah mengecewakan Mallorca di separuh akhir lalu.
Di perlawanan akhir, Real Madrid bakal menentang musuh tradisi, FC Barcelona di King Abdullah Sports City pada awal pagi Isnin ini.