Advertisement
UCL: Real Madrid Atasi Tentangan Sengit Atalanta
UEFA Champions League
MakanBola
Real Madrid CF

Juara bertahan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Real Madrid dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 3-2 ke atas kelab Serie A, Atalanta.

Selepas tewas dua aksi UCL sebelumnya termasuk kekalahan 2-0 di tangan Liverpool, Los Blancos perlu meraih kemenangan jika ingin menghidupkan peluang berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Atalanta pula memburu kemenangan bagi memastikan kedudukan mereka dalam kelompok lapan pasukan terbaik liga UCL masih terjamin.

Bintang Perancis, Kylian Mbappe terus menjadi sandaran gol jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti. Bekas penyerang Everton, Ademola Lookman terus menjadi pilihan Gian Piero Gasperini untuk merobek gawang pelawat.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mendapatkan kelebihan gol awal di Stadio di Bergamo.

Los Blancos mendahului seawal minit ke-10 menerusi Mbappe. Bekas penyerang PSG itu melepasi kawalan Martin de Roon sebelum menyudahkan hantaran Brahim Diaz melepasi penjaga gol La Dea, Marco Carnesecchi.

Gol tersebut turut menjadikan Mbappe sebagai pemain Perancis ketiga menjaringkan 50 gol dalam saingan UCL. Beliau mengikut jejak dua peledak Perancis berbisa, Thierry Henry dan Karim Benzema.

Empat minit selepas itu, Mbappe hampir menambah gol kedua Real Madrid selepas berjaya melepasi Isak Hien. Malangnya, rembatan padu beliau berjaya ditepis Carnesecchi.

Los Blancos kemudiannya terpaksa melakukan pertukaran pemain awal selepas Mbappe memberi isyarat tidak dapat meneruskan permainan. Ancelotti memasukkan Rodrygo menggantikan penyerang Perancis itu pada minit ke-36.

Atalanta memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi sepakan penalti Charles de Ketelaare pada minit akhir babak pertama.

Bersambung pada babak kedua, La Dea semakin garang mengasak kubu pertahanan Los Blancos diketuai bek tengah Jerman, Antonio Rudiger.

Lookman hampir menceriakan penyokong di Stadio di Bergamo menerusi rembatan deras pada minit ke-54. Ini memaksa Courtois menepis percubaan bekas graduan akademi Charlton Athletic itu.

Gol kedua yang dicari Real Madrid akhirnya muncul dua minit selepas itu. Selepas menerima hantaran Diaz, Vinicius Jr meledakkan rembatan cantik yang menewaskan Carnesecchi.

Vinicius kemudiannya memainkan peranan sebagai pencipta gol. Hantaran pemain sayap Brazil itu berjaya disambar Jude Bellingham sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Atalanta itu pada minit ke-59.

La Dea kemudiannya mendapat talian hayat menerusi Lookman enam minit selepas itu. Meskipun cuba disekat Courtois, penyerang Nigeria itu berjaya menolak bola untuk merekodkan gol ke-11 untuk musim 2024/25.

Atalanta hampir berjaya mencuri satu mata apabila Lookman membuat satu hantaran berkualiti pada minit ke-93. Malangnya, percubaan Mateo Retegui gagal menerjah jaring sekaligus memastikan kemenangan 3-2 menjadi milik Real Madrid.

Keputusan ini menyaksikan Los Blancos kini di tangga ke-18 liga UCL. Atalanta pula jatuh ke tangga kesembilan liga dengan 11 mata.

Kerja keras Bellingham untuk Real Madrid diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.2, 0.1 mata di hadapan Lookman.

Selepas ini, Atalanta bakal berdepan Cagliari untuk aksi terbaru Serie A pada 14 Disember. Los Blancos pula akan berdepan Rayo Vallecano untuk aksi terbaru La Liga pada 15 Disember.