Advertisement
UCL: Liverpool Tamatkan Badi, Tumbangkan Real Madrid
UEFA Champions League
MakanBola
Liverpool FC

Penantian 16 tahun Liverpool untuk menewaskan Real Madrid berakhir apabila pasukan itu meraih kemenangan di Anfield.

The Reds berharap dapat meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Southampton pada 24 November lalu. Los Blancos pula mahu melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas Liverpool sejak musim 2014/15.

Gandingan Luis Diaz, Darwin Nunez dan Mohamed Salah terus menjadi pilihan pengendali Liverpool, Arne Slot. Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti pula memilih Brahim Diaz dan Kylian Mbappe untuk merobek gawang tuan rumah.

Sebaik separuh masa pertama bermula, kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal.

The Reds hampir mendahului seawal minit keempat menerusi Nunez. Penyokong Liverpool hampa kerana pertahanan Los Blancos, Raul Ascensio berjaya mengeluarkan bola sebelum melepasi garisan gol.

Nunez terus menjadi duri dalam daging dalam kalangan pertahanan Liverpool. Cubaannya menolak bola ke arah gawang Real Madrid berjaya disekat Thibaut Courtois pada minit ke-24.

Liverpool terus memberi tekanan ke arah kubu pelawat. Walau bagaimanapun, pertahanan Los Blancos diketuai Antonio Rudiger memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, The Reds terus meningkatkan asakan dengan sokongan padu penyokong di Anfield. Penantian gol tuan rumah berakhir apabila Alexis MacAllister membuka tirai jaringan pada minit ke-52.

Selepas berjaya mengatasi cabaran Ascensio, bekas pemain tengah Brighton itu melepaskan rembatan yang menewaskan Courtois. Tersentak, Ancelotti memasukkan Dani Ceballos dan Lucas Vasquez untuk mengubah momentum permainan.

Real Madrid kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil Perancis, Francois Letexier. Ini selepas pengadil Perancis itu mengesan terjahan keras Andy Robertson ke atas Vasquez dalam kotak penalti.

Hajat Kylian Mbappe untuk menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-61 gagal sama sekali. Ini disebabkan penaltinya mudah dinafikan penjaga gol The Reds, Caoimhin Kelleher.

Lapan minit selepas itu, giliran Liverpool pula dianugerahkan sepakan penalti. Bek kiri Perancis, Ferland Mendy bernasib malang apabila menjatuhkan Salah dalam kotak penalti.

Selepas Mbappe, giliran Salah pula yang kecewa kerana tidak mendapat gol ke-49 dalam saingan peringkat Eropah. Ini selepas sepakan penalti yang diambilnya langsung tersasar.

Semangat juang Real Madrid makin pudar apabila Cody Gakpo menyumbat gol kedua Liverpool pada minit ke-77. Gakpo yang masuk menggantikan Nunez langsung tidak dikawal apabila menanduk bola melepasi Courtois.

Ancelotti memasukkan bintang muda Brazil, Endrick dengan harapan dapat merapatkan jurang gol dengan The Reds. Walau bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku dan Liverpool ceria meraih tiga mata pada akhir perlawanan.

Kemenangan ini menyaksikan Liverpool mengekalkan rekod kemenangan 100% di Eropah dengan 15 mata. Ini juga kemenangan pertama The Reds ke atas Real Madrid sejak aksi peringkat kumpulan musim 2008/09.

Kekalahan terbaru Los Blancos bukan saja menyaksikan pasukan itu kini di tangga ke-24 liga UCL dengan enam mata. Malah, situasi ini menambah tekanan ke atas kedudukan Ancelotti selaku pengurus Real Madrid.

Sofascore memilih MacAllister sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.6 mata. Pemain tengah Argentina itu mengatasi cabaran Kelleher yang meraih 8.1 mata.

Selepas ini, Liverpool bakal berentap dengan Manchester City pada 2 Disember. Real Madrid pula bakal berdepan Getafe untuk aksi terbaru LALIGA pada 1 Disember.