Putera Patrick Kluivert, Shane Kluivert memilih kekal bersama Barcelona.
Ini selepas pengurusan kelab itu mengumumkan Shane kekal bersama Barcelona B sehingga tahun 2028.
“FC Barcelona telah mencapai persetujuan dengan pemain, Shane Kluivert untuk memperbaharui kontraknya di mana beliau kekal bersama kelab untuk dua musim berikutnya sehingga 30 Jun 2028,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Barcelona bertindak pantas mengekalkan Shane Kluivert selepas pemain sayap Belanda itu mempamerkan prestasi cemerlang bersama Barcelona Bawah 18 Tahun (B-18).
Keputusan ini menyaksikan Shane mengikut jejak bapanya beraksi untuk pasukan gergasi Sepanyol itu.
Shane antara empat anak Kluivert yang menceburi arena bola sepak. Dua abang Shane, Justin dan Ruben masing-masing mewakili Bournemouth dan Olympique Lyon.
Putera bongsu Kluivert, Quincy pula beraksi untuk kelab akar umbi yang berpangkalan di Belanda, Zeeburgia.
Legenda Belanda itu cukup dikenali peminat bola sepak Asia Tenggara kerana pernah membimbing Indonesia. Kluivert kini memikul tugas sebagai penasihat pasukan Surinam.