Bakat pemain muda negara terutama pemain wanita terus menarik perhatian kelab-kelab luar terutama dari Jerman.
Terbaru, bakat yang dimiliki Qaseh Rania Khairul Najib memikat hati pengurusan skuad wanita kelab Frauen-Bundesliga (liga bola sepak wanita utama Jerman), VfL Wolfsburg.
Khabar ini dikongsikan sendiri Qaseh Rania menerusi satu perkongsian di Instagram peribadinya semalam. “Alhamdullillah, VfL Wolfsburg FC,” katanya ringkas.
Sebaik khabar itu dimuatnaik di media sosial, ramai peminat bola sepak Malaysia mengucapkan tahniah kepada Qaseh Rania.
Ini termasuk kelab yang diwakili beliau ketika ini, MBPJ FC. “Tahniah Qaseh Rania, buat yang terbaik,” kata pihak kelab di ruang komen.
Ini menjadikan Qaseh Rania sebagai pemain Asia Tenggara terbaru yang melebarkan bakat ke Jerman. Sebelum ini, pemain muda wanita Singapura, Danelle Tan turut melebarkan sayapnya ke Jerman dengan menyertai skuad wanita Borussia Dortmund.
Wolfsburg bukan calang-calang pasukan dalam Frauen-Bundesliga. Ketika ini, pasukan tersebut menduduki tempat kedua liga dengan 38 mata, satu mata di belakang Bayern Munich.