Advertising
AFC Asian Cup: Qatar Janjikan Ujian Getir Kepada Lubnan
Asia
MakanBola
AFC

Menjelang aksi pembukaan Piala Asia 2023 membabitkan Qatar dan Lubnan malam ini, kelebihan tampak memihak kepada tuan rumah.

Ini kerana ini kali ketiga Qatar menjadi tuan rumah Piala Asia selepas melakukannya untuk edisi 1988 dan 2011. Situasi ini akan memberi kelebihan kepada Qatar kerana mendapat sokongan padu penyokong tempatan.

Ad

Edisi 2019 turut menyaksikan pasukan yang diberi jolokan The Maroons itu menggondol gelaran juara tanpa merekodkan sebarang kekalahan.

Ad

Antara pasukan yang merasai penangan Qatar dalam edisi 2019 ialah Lubnan. Ironinya, mereka tewas 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan E kepada The Maroons hasil jaringan Bassam Al-Rawi dan Almoez Ali.

Kali terakhir Qatar kalah dalam Piala Asia ialah pada edisi 2015 yang diadakan di Australia. Edisi tersebut menyaksikan The Maroons tersingkir di peringkat kumpulan selepas kalah dalam semua perlawanan Kumpulan C.

Ad

Selain Qatar, Iran, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut berada dalam kumpulan sama. Selain kalah, The Maroons turut merekodkan dua jaringan dan dibolosi tujuh kali.

Ad

Dua pemain yang bakal menjadi duri dalam daging kepada The Cedars ialah Almoez Ali dan Akram Afif.

Ad

Ali bukan saja pemenang Kasut Emas Piala Asia 2019 dengan sembilan gol. Malah, beliau juga dipilih sebagai Pemain Paling Berharga (MVP) kejohanan untuk edisi 2019.

Sementara Afif pula bertanggungjawab menggerakkan serangan ke arah kubu lawan. Edisi 2019 menyaksikan beliau telah merekodkan 10 gol.

Dengan semua fakta ini, tidak hairanlah mengapa bekas penyerang Kelantan FC, Mohamad Ghaddar memilih Qatar sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan A.

Bagaimanapun, tidak seperti edisi 2019, Ghaddar percaya Lubnan memiliki kelebihan untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik. Ini kerana The Cedars jauh lebih baik daripada dua lagi lawan mereka, China dan Tajikistan.

Dan ini dibuktikan Lubnan dalam aksi terakhir Kumpulan E edisi 2019. The Cedars mengalahkan lawan mereka dari sebelah Asia Timur, Korea Utara 4-1.

Qatar dan Lubnan bakal bersemuka dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Lusail pada jam 12.00 pagi waktu Malaysia. Perlawanan itu bakal diadili oleh pengadil Australia, Alireza Faghani.