Susulan pemecatan Carlos Queiroz sebagai jurulatih Qatar, pengurusan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) bertindak segera untuk memilih penggantinya.
Tidak sampai beberapa jam berita pemecatan jurulatih Portugal itu disiarkan, QFA mengumumkan perlantikan Tintin Marquez Lopez sebagai jurulatih baru The Maroons.
Lopez atau nama sebenarnya Bartolome Marquez Lopez sebelum ini menggalas peranan sebagai jurulatih kelab Qatar, Al-Wakrah.
Selain Al-Wakrah, jurulatih berusia 61 tahun itu pernah melatih Espanyol, Eupen, Sint-Truiden dan Castellon.
Ramai peminat bola sepak percaya kehadiran Lopez mampu memberi nafas baru kepada Qatar termasuk memberi peluang kepada pemain-pemain muda.
Sebelum ini, Queiroz dilepaskan QFA semalam selepas keputusan dibuat oleh badan induk bola sepak Qatar itu pada minggu ini.
Keputusan tersebut dibuat biarpun bekas jurulatih Iran itu berjaya meraih enam mata selepas mengalahkan Afghanistan dan India dalam dua aksi kelayakan Kumpulan A.
Dengan perlantikan Lopez, ini sekurang-kurangnya tidak mengganggu persiapan The Maroons menjelang Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada 10 Januari 2024.