Bekas pemain kebangsaan, R. Kogileswaran kembali menjadi wira Bunga Raya Damansara FC (BR Damansara FC) buat kali kedua hari ini.
Ini selepas bekas pemain sayap Penang FC itu membantu BR Damansara mencatat kemenangan ke atas Armed Forces FC dalam aksi terbaru Liga A1 Semi Pro.
Selepas mencipta kemenangan besar 4-0 ke atas Harini FT, BR Damansara mahu meneruskan momentum dengan Armed Forces.
Walau bagaimanapun, pelawat terpaksa menunggu sehingga minit ke-26 untuk membuka tirai jaringan menerusi Kogileswaran.
14 minit kemudian, Sachin Samuel menggandakan kelebihan anak buah P. Gunalan itu. Kelebihan 2-0 yang dimiliki BR Damansara kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah yang beraksi di Stadium MINDEF berusaha merapatkan jurang gol.
Meskipun hanya menampilkan pemain tempatan, Armed Forces berhasil merapatkan jurang gol menerusi Shahrul Aznei Shopri pada minit ke-62.
Armed Forces berusaha memberi tekanan kepada pelawat untuk mendapatkan gol penyamaan. Pada akhirnya, kemenangan 2-1 tetap menjadi milik BR Damansara.
Keputusan ini menyaksikan BR Damansara kekal menerajui Liga A1 Semi Pro dari segi kelebihan jaringan walaupun berkongsi enam mata dengan Manjung FC.
Perlawanan hari ini turut menyaksikan Kogileswaran menambah koleksi golnya kepada dua gol. Ini kerana beliau turut menjaringkan gol semasa menentang Harini pada minggu lepas.