Bekas pemain sayap kebangsaan, R. Kogileswaran membantu pasukan barunya, Bunga Raya Damansara (BR Damansara) membelasah Harini FT dalam aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro hari ini.
BR Damansara dilihat tidak gentar meskipun berstatus pendatang baru liga musim ini. Ini kerana pasukan itu diperkuatkan dengan pemain-pemain berpengalaman seperti Kogileswaran, K. Gurusamy dan Khyril Muhymeen Zambri.
Sementara pasukan pelawat pula bukan calang-calang. Ini kerana Harini menamatkan kempen liga musim lepas di tempat ketiga di belakang juara, Imigresen FC dan naib juara, KL Rovers FC.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di padang PKNS.
BR Damansara mengancam kubu pelawat menerusi Kogileswaran, Sunil Caven Chandran, Farid Khazali dan Sachin Samuel.
Malangnya, setiap gerakan yang cuba diatur berjaya dipatahkan barisan pertahanan Harini diketuai penjaga gol, Asheer Shafiq Abdul Karim.
Harini turut berusaha menguji keampuhan pertahanan BR Damansara menerusi dua pemain import mereka, Joseph Akegie Sogbe dan Ogolo Williams Wisdom tetapi gagal.
Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol.
Gol yang dicari BR Damansara akhirnya muncul pada minit ke-73 menerusi pemain Argentina, Ignacio Agustin Sequiera. Lima minit kemudian, giliran Kogileswaran mencipta nama sebagai penjaring.
D. Kugan menambah gol ketiga BR Damansara pada minit ke-87. Deverkumaran Muniswaran memastikan BR Damansara meraih kemenangan selesa menerusi gol pada minit ke-90.
Keputusan ini menyaksikan BR Damansara memintas Melaka FC sebagai pendahulu Liga A1 Semi Pro atas kelebihan jaringan.
Selepas ini, BR Damansara akan menentang Armed Forces FC pada 8 Jun. Sementara Harini pula berdepan bekas juara liga musim lepas, Imigresen pada 9 Jun.