Hasrat untuk melihat kelibat penyerang lagenda Colombia, Radamel Falcao beraksi di Asia masih lagi bernyala.
Pemain berusia 37 tahun itu merupakan peledak yang digeruni pada era kegemilangannya dan pernah beraksi bersama beberapa buah kelab gergasi Eropah.
Beliau kini bersama kelab La Liga, Rayo Vellecano difahamkan menerima tawaran lumayan dari kelab di Asia yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Falcao sebelum ini pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) namun gagal mencapai kata sepakat dengan pemilik kelab, DYAM TMJ.
Usaha untuk membawanya tertangguh disebabkan bayaran yang terlalu tinggi diperlukan untuk menampung khidmat beliau.
Hasrat beliau untuk beraksi di Asia bagaimanapun masih belum tertutup selepas wartawan terkemuka Eropah, Fabrizio Romano mengesahkan ada cubaan untuk membawanya ke Arab Saudi.
Kelab Arab Saudi melihat ada potensi untuk membawa bekas pemain Atletico Madrid ini ke sana.
Perbincangan lanjut mengenai perkara ini bakal diteruskan dalam tempoh terdekat untuk membawa lebih ramai nama besar beraksi di Saudi.
Falcao telah meledak 303 gol dan 54 bantuan gol sepanjang 570 aksi dalam karier profesional beliau di Eropah.