Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim mungkin perlu mempertimbangkan semula cadangan ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbrucker yang disuarakan pada penghujung musim lalu.
Rahadiazli pernah dicadangkan oleh Steinbruckner untuk berhijrah ke pasukan lain memandangkan saingan sengit di posisi penjaga gol.
“Untuk masa depannya, Abe (Rahadiazli) perlu ke kelab lain untuk menjadi penjaga gol nombor satu kerana di Terengganu Suhaimi Husin merupakan penjaga gol utama,” jelasnya kepada MakanBola.
Untuk musim ini, kelibat Rahadiazli masih belum kelihatan dalam saingan utama Liga Malaysia iaitu bagi Liga Super, Piala FA dan Piala MFL.
Cadangan bernas yang disuarakan Steinbruckner itu adalah bagi membantu perkembangan Rahadiazli selepas beberapa kesilapan yang dilakukan penjaga gol muda itu dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.
Kini, Rahadiazli menjadi pilihan ketiga di posisi penjaga gol Terengganu di belakang Syed Nasrulhaq dan Suhaimi Husin.