Ramadan Ondash Ajak Aliff Rakib Tukar Kategori
UltraSukan
ONE Championship

Jaguh Muay Thai Lubnan, Ramadan Ondash mahu juara dunia ONE Championship, Aliff Rakib untuk menukar kategori dari strawweight kepada flyweight.

Bangkok Post melaporkan jaguh berusia 19 tahun itu membuat ajakan tersebut dengan harapan dapat berentap dengan Aliff buat kali kedua.

Menariknya, satu-satunya kekalahan Ramadan berlaku ketika menentang jaguh berusia 22 tahun itu pada Disember 2025. Susulan itu, beliau memilih bertarung untuk kategori flyweight dan kembali mencatat dua kemenangan.

Pertarungan semula antara Ramadan dan Aliff sukar direalisasikan melainkan jika jaguh kelahiran Kelantan itu memilih menukar kategori. Atas sebab itu, jaguh Lubnan itu berharap perkara itu berlaku.

“Jika beliau (Aliff) datang ke (kategori) flyweight, selamat datang,” katanya.

Selain isu berat badan, Ramadan melihat kategori strawweight kini menjadi fokus abangnya, Abdullah. Justeru, beliau melihat ini peluang buat dirinya untuk menempa nama dalam kategori flyweight.

Aliff muncul juara dunia kategori strawweight selepas mengalahkan Sam-A Gaiyanghadao. Beliau kini akan berentap dengan seorang lagi jaguh Thailand, Prajanchai PK Saenchai untuk menentukan siapa juara dunia sebenar kategori tersebut.