Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa lambakan pemain warisan di media sosial adalah palsu.
Perkara ini dijelaskan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkenaan perkhabaran tentang pemain warisan yang tumbuh bagai cendawan di media sosial.
Beliau yang ditemui MakanBola di Wisma FAM berkata bahawa pihaknya dan barisan kejurulatihan terbuka untuk menerima mana-mana pemain yang benar-benar berkualiti untuk membantu skuad kebangsaan.
“Warisan atau tidak, kalau beliau (Kim Pan-gon) rasa terbaik pilihlah. Jika beliau rasa Stuart Wilkin layak berbanding pemain lain, maka beliau panggil.
“Kim Pan-gon tak ada memberikan saya mana-mana pemain warisan secara khusus,” jelas Hamidin ketika sesi temu bual eksklusif bersama MakanBola.
Hamidin bagaimanapun memaklumkan exco FAM iaitu Christopher Raj telah berhubung dengan pemain warisan seperti penyerang Belanda, Ferdy Druijf namun tidak mendapat maklum balas.
“Kebanyakan yang ada di media sosial itu tak betul dan bukan pun berdarah Malaysia.
Pihaknya juga sudah memeriksa latar belakang beberapa pemain yang dikaitkan dan mengesahkan bahawa mereka tidak memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
“Mestilah ada cek. Macam contohnya Ferdy Drujif, exco saya sudah berhubung tetapi sampai sekarang dia tidak beri maklum balas.
“Dia pun mungkin tidak berdarah Malaysia, hanya ada laman di media sosial yang berkata dia memiliki pertalian. Banyak informasi yang palsu,” jelas Hamidin kepada MakanBola.
FAM juga kekal memberi kepercayaan kepada Kim Pan-gon untuk terus mengemudi Malaysia ke Piala Asia 2027 sungguhpun berdepan laluan sukar ketika ini.
Skuad negara akan bertemu Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada bulan Jun untuk meraih mata penting ke pusingan ketiga.