Pemain sayap lincah Harimau Malaya, Faisal Halim sudah menjangka kecaman yang bakal diterima sebelum berdepan Oman lagi.
Bintang pasukan Selangor FC itu merupakan watak penting sejak diambil alih oleh Kim Pan-gon kira-kira dua tahun yang lalu.
Persembahan yang diharapkan oleh penyokong setia Harimau Malaya bagaimanapun tidak kesampaian apabila skuad negara tunduk di tangan Oman sebanyak dua kali dengan keputusan 2-0.
Kekalahan itu juga menyaksikan kedudukan masa-nyata FIFA Malaysia turun lima tangga ke kedudukan 137 dunia setelah kehilangan hampir -15 mata FIFA.
Perkara ini sudah dijangka oleh Faisal yang juga merupakan pemenang gol terbaik di Piala Asia 2023.
“Sudah tentu jangkaan daripada peminat meningkat (selepas Piala Asia), lebih-lebih lagi selepas saya memenangi gol terbaik kejohanan.”
“Sekiranya saya tidak dapat memberikan yang terbaik berdepan Oman, saya akan dihentam tetapi jika berjaya, selamat untuk diri saya. Saya tidak anggap itu sebagai bebanan, saya buat kerja saya seperti biasa” ujarnya ketika ditemui di Wisma FAM pada sesi latihan pusat tempoh hari.
Malaysia akan kembali meneruskan perjuangan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan pada bulan Jun dengan misi untuk mengekori 6 pasukan yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan ketiga kejohanan.