Penolong jurulatih Argentina, Ramiro Gonzalez mengumumkan bahawa beliau telah meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Keputusan itu diumumkan jurulatih berusia 35 tahun itu dalam satu hantaran di Instagram.
Gonzalez mengakui ini bukan satu keputusan mudah untuk meninggalkan Harimau Selatan. Ini kerana dalam tempoh empat tahun bersama pasukan itu, beliau membantu JDT meraih 13 kejuaraan.
“Bukan mudah untuk ucap selamat tinggal kepada tempat yang menjadi tempat tinggal saya selama lebih empat tahun. Saya tiba di sini dengan dan saya tinggalkan dengan cerita yang saya takkan lupakan,” katanya.
“Kita sama-sama berkongsi detik menakjubkan: 165 perlawanan, 13 kejuaraan, empat kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan malam-malam gemilang yang tidak terkira di SSI.
“Namun begitu, pencapaian terhebat ialah menjadi sebahagian daripada keluarga yang hebat ini.”
Gonzalez merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak terutama jurulatih, Hector Bidoglio, para pemain dan staf kejurulatihan sepanjang tempoh bersama JDT.
Beliau juga turut berterima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana memberinya peluang bersama Harimau Selatan.
“Penghargaan saya yang tak terhingga buat DYAM Tunku Mahkota Johor. Baginda mengalu-alukan saya pada satu hari semasa tahun 2021 dengan berkata, ‘Selamat datang ke kelab terbaik di dunia.’
“Saya menerima kata-kata itu dan berjuang untuk perkara tersebut setiap hari. Ia satu penghormatan bekerja dengan baginda. Terima kasih, bos,” tambahnya.
Pengumuman ini menyaksikan Gonzalez mengikut jejak bekas pengendali JDT II, Juan Miguel Munoz Rodriguez yang meninggalkan pasukan baru-baru ini.
Bidoglio kini dibantu Fernando Bacci, Hamzani Omar, Jon Elorza Dominguez, Jorge Alvarez Alvarez, Alexis Cruz Gasparini dan Aidil Zafuan Abdul Radzak sebagai staf kejurulatihan beliau.