Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Juanmi Munoz mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan tersebut.
Perkara ini diumumkan oleh Juanmi dalam satu hantaran di akaun Facebook peribadi yang mengucapkan terima kasih buat JDT untuk tempoh lebih dua tahun melakar kenangan bersama.
”Hari ini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada apa yang telah menjadi rumah saya selama 2 tahun setengah terakhir, Johor Darul Tazim (JDT),” umum Juanmi Munoz.
Tambah Munoz, tidak mudah buat dirinya berpisah bersama pasukan setleah berusaha keras selama setahun sehingga membantu JDT II berada di kelompok atasan namun tetap akur.
“Tidak mudah mengucapkan selamat tinggal sekarang ketika ini, setelah 12 bulan bekerja keras, dengan 3 perlawanan lagi dan pasukan berada di tempat pertama, sebagai pendahulu, tapi kadang kala(jarang) bola sepak berlaku perkara seperti ini.”
Malah, Munoz sempat mengimbau kenangan indah apabila berjaya membawa skuad JDT IV ke final selain mengemudi JDT II musim ini setelah mengambil alih peranan Mariano Echevarria.
”Ia telah menjadi 2 musim yang penuh dengan kegembiraan, yang pertama dengan JDT IV mencapai final bersejarah buat kelab, suatu yang tidak pernah dicapai oleh JDT IV sebelum ini,”
“Musim kedua ini (JDT II) bergelar pendahulu sepanjang 21 hari yang telah kami bermain dalam liga setakat ini.”
“Saya berasa begitu bertuah serta bangga untuk melihat kembali segala yang telah dicapai.”
Juan Munoz mengakhiri hantaran tersebut dengan ucapan terima kasih untuk semua staf serta pegawai terutamanya buat Pengarah Sukan JDT, Martin Prest di atas kepercayaan yang diberikan.
Skuad JDT II kini berada di tangga kedua Piala MFL dengan 44 mata setelah 21 perlawanan, hanya 2 mata di belakang pendahulu, Selangor B-23.