KL City FC Extension mencipta kejutan dengan menewaskan pendahulu Piala MFL, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam aksi terbaru kejohanan itu.
Selepas Selangor FC tewas kepada PDRM FC, JDT II melihat ini peluang buat pasukan itu kembali melebarkan jurang mata. KL City Extension pula mahu kembali mendapatkan kemenangan selepas diikat Terengganu FC II 4-4.
Penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy mengetuai jentera serangan JDT II. Abdul Afiq Hilman Abdul Halim menjadi sandaran gol pengendali KL City Extension, Nidzam Adzha Yusoff.
Separuh masa pertama menyaksikan JDT II berusaha mendapatkan gol pendahuluan menerusi Nistelrooy, Alif Mutalib dan G. Pavithran.
Ini memaksa barisan pertahanan The City Boys diketuai Juzaerul Jasmi bekerja keras menafikan serangan Harimau Selatan.
Kem KL City Extension ceria apabila Shahrul Aikal Mohamad Nasir menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-16.
Tersentak, JDT II yang dibimbing Juan Miguel Munoz Rodriguez berusaha mencari gol penyamaan tetapi usaha mereka tidak berhasil.
Sebaliknya, pasukan pelawat menggandakan kelebihan mereka menerusi Amreel Iqbal Hafiz pada minit ke-47. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Munoz Rodriguez membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Najmudin Akmal Kamal Akmal dan Daryl Sham K.K George.
Kemasukan dua pemain itu membuahkan hasil apabila Nistelrooy merapatkan jurang buat JDT II pada minit ke-57.
Harimau Selatan terus melancarkan serangan untuk memburu jaringan penyamaan tetapi gagal. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini kali kedua KL City Extension mengecewakan JDT II. Sebelum ini, pasukan Lembah Klang itu turut mengecewakan Harimau Selatan dengan mengikat pasukan itu tanpa jaringan pada 18 September 2024.
Keputusan ini menyaksikan JDT II kekal di tampuk liga dengan 44 mata, satu mata di hadapan Selangor. KL City Extension pula memintas Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di tangga keempat dengan 31 mata.
Selepas ini, JDT II bakal berdepan Kuching City FC di Kuching pada 17 Februari. KL City Extension pula akan menentang Sri Pahang di Cheras pada hari yang sama.