Ranking FIFA Futsal: Malaysia Jatuh Dua Tangga
UltraSukan
FA Malaysia

Kedudukan pasukan futsal Malaysia jatuh dua anak tangga dalam ranking FIFA futsal terkini.

Skuad kebangsaan kini dalam persiapan bagi menghadapi AFF Futsal Championship yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand bermula awal November ini.

Anak buah Rakhpol Sainetngam bakal berdepan Brunei pada 3 November sebelum menentang Vietnam serta Thailand dan akan menutup aksi kumpulan A bertemu Timor Leste.

Menerusi kemas kini ranking terbaharu menyaksikan skuad futsal negara mengalami penurunan dua anak tangga dari tempat ke-79 ke kedudukan ke-81 dunia.

Hal ini disebabkan oleh peningkatan mendadak yang dicatat oleh dia buah negara Eropah iaitu Latvia dan Denmark yang melonjak tinggi hasil tambahan 21.96 dan 5.94 mata ranking FIFA.

Thailand masih kekal sebagai negara nombor satu di rantau Asia Tenggara dengan kedudukan ke-11 dunia meskipun juga mengalami penurunan ranking sebanyak dua anak tangga.

Pasukan negara kini berada di Yogyakarta bagi menghadapi Indonesia dalam satu aksi persahabatan pada 13 Oktober sebagai persiapan menghadapi AFF Futsal Championship.

Aksi Malaysia dan Indonesia berlangsung di Gor Amongrogo, Yogyakarta pada Ahad, 13 Oktober 2024 dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8 malam waktu tempatan.