Advertisements
Ranking FIFA: Thailand & Indonesia Catat Peningkatan Tertinggi Negara Asean
Asia Tenggara
MakanBola
Changsuek/Timnas Indonesia

Negara jiran, Thailand dan Indonesia terus mendaki tangga ranking FIFA pasca kempen Piala Asia yang lalu.

Menerusi ciapan terbaharu daripada Asean Football menyaksikan Thailand dan Indonesia mencatatkan peningkatan drastik selepas berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia bulan lepas.

Thailand merupakan pasukan Asean yang merekodkan peningkatan tertinggi dengan lonjakan sebanyak 12 anak tangga untuk menghuni ranking 101 dunia kini.

Peningkatan yang begitu besar ini sekaligus menjadikan skuad Gajah Perang sebagai pasukan nombor satu di Asean, memintas kedudukan Vietnam yang mengharungi kempen hambar di Piala Asia yang lalu.

Manakala, Indonesia yang mencipta sejarah melepasi peringkat kumpulan kejohanan terbesar Asia itu pula mencatatkan peningkatan sebanyak empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-142 dunia.

Pada kempen Piala Asia yang lalu, Thailand yang dibimbing Masatadi Ishii layak ke pusingan kalah mati selaku naib juara kumpulan F sebelum tewas tipis 1-2 kepada Uzbekistan.

Manakala Sang Garuda pula, layak sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan namun terpaksa akur dengan kehebatan Australia di pusingan 16 terbaik apabila tumpas 0-4.