Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus merekodkan pencapaian membanggakan apabila kini muncul kelab ke-13 terbaik di Asia.
Kemas kini terbaru oleh laman Opta Analyst menunjukkan peningkatan mendadak kedudukan Harimau Selatan berbanding kemas kini terakhir tempoh hari.
Laman analisis bola sepak yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia itu menunjukkan Harimau Selatan kini mengumpul 75.3 mata sekaligus menyaksikan kedudukan JDT naik ke tangga 13 di Asia berbanding ke-15 tempoh hari.
Kemajuan memberangsangkan ini juga menyaksikan JDT naik 9 anak tangga bagi kedudukan ranking kelab di dunia dan berada pada tangga ke-315 ketika ini.
Kedudukan ini membolehkan JDT mengukuhkan reputasi selaku kelab nombor satu di Asia Tenggara dan Malaysia sekaligus meninggalkan pesaing terdekat daripada Thailand, Buriram United yang menghuni tangga ke-49 di Asia (619 di dunia).
Kemas kini ini juga membolehkan pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memintas kedudukan pasukan gergasi Jepun, Kawasaki Frontale di tangga ke-14.
JDT menghampiri tangga beberapa pasukan gergasi Asia lain seperti Yokohama F. Marinos (10), Kashima Antlers (9) dan juga Sanfrecce Hiroshima (7).
Kelab nombor satu di Asia kekal menjadi milik Al-Hilal dengan 86. 8 mata disusuli oleh Al-Nassr (82.9 mata) dan juga Ulsan Hyundai di tangga ketiga dengan 78.3 mata.
JDT bakal menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) bagi musim 2024/25 yang dijadualkan bermula pada bulan September 2024.