Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia semakin menghampiri kedudukan lima pemain terbaik perseorangan lelaki dunia.
Ini selepas Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) mengemas kini kedudukan ranking terbaru pemain mengikut acara yang disertai.
Zii Jia kini menduduki ranking ketujuh dunia sekaligus memintas kembali juara dunia perseorangan lelaki 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Kejayaan ini dilakar pemain perseorangan berusia 26 tahun itu selepas bergelar juara Australian Open 2024 pada 16 Jun lalu.
Zii Jia muncul juara dengan menewaskan pemain perseorangan keenam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka di pentas final.
Sementara itu, kedudukan lima teratas pemain perseorangan dunia tidak menunjukkan banyak perubahan. Shi Yuqi kekal bertakhta sebagai pemain nombor satu dunia selepas memintas Viktor Axelsen baru-baru ini.
Sementara Jonatan Christie, Anders Antonsen dan Li Shifeng pula masing-masing menduduki ranking ketiga, keempat dan kelima dunia.
Selain Zii Jia, dua lagi wakil negara tersenarai dalam kedudukan 30 pemain terbaik dunia. Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao masing-masing menduduki ranking ke-18 dan 28 dunia.
Kedudukan ranking terbaru ini dijangka membakar semangat Zii Jia menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang bermula pada 26 Julai hadapan.