Ratchaburi Antara 5 Lawan Pra-Musim Selangor Di Thailand
MakanBola
RFC/SFC

Selangor bakal menguji kekuatan salah sebuah kelab Liga Thailand, Ratchaburi dalam aksi pra-musim di sana.

Sebelum ini, jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi dalam satu sesi temu bual mendedahkan pasukan Gergasi Merah bakal terbang ke Thailand untuk menjalani kem pra-musim di sana.

“(Pra-musim) di Bangkok, kita ada 5 aksi (ujian) setakat ini,” umum Katsuhito Kinoshi dalam temu bual bersama Selangor FC.

“Saya mahu berikan semua pemain bermain satu perlawanan latihan sekurang-kurangnya antara 30, 60 atau pun kadang-kadang 90 minit.”

Walau bagaimanapun, Katsuhito Kinoshi dan pihak Selangor tidak memaklumkan identiti 5 lawan yang akan dihadapi oleh naib juara Liga Super 2024-2025 itu selama aksi pra-musim di sana.

Salah satu pasukan yang akan ditentang Selangor akhirnya diketahui apabila Ratchaburi mengumumkan aksi pemanas badan menentang skuad Gergasi Merah itu pada 9 Julai ini.

Ratchaburi FC merupakan kelab utama yang bersaing di Thai League 1 dan mengakhiri aksi musim lalu di kedudukan ke-4 dengan memungut 52 mata, hanya satu mata di belakang BG Pathum.

Antara pemain tumpuan yang bersama Ratchaburi ketika ini adalah penyerang Singapura iaitu Ikhsan Fandi, Faiq Bolkiah dari Brunei dan dua tonggak Thailand, Jakkaphan Kaewprom serta Jonathan Khemdee.

Menariknya, pemain Malaysia, Safawi Rasid pernah menyertai Ratchaburi pada musim 2022 lalu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menjaringkan satu gol dan melakukan satu bantuan jaringan.

Sementara 4 lagi lawan masih lagi belum diketahui setakat ini tatkala menanti sebarang pengumuman yang akan dilakukan oleh Selangor sebelum berangkat ke Thailand bagi aksi pra-musim.