Selangor Rangka 5 Aksi Pra-Musim Di Thailand
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC menjadikan Thailand sebagai destinasi persiapan pra-musim mereka untuk menghadapi kempen 2025/26.

Perkara ini dikongsikan jurulatih Merah Kuning, Katsuhito Kinoshi apabila ditanya tentang persiapan pra-musim pasukan itu.

Kinoshi memaklumkan sepanjang mereka berada di Thailand, Selangor akan menghadapi lima aksi pemanas badan.

“(Pra-musim) di Bangkok, kita ada lima perlawanan (ujian) setakat ini. Dan saya mahu berikan semua pemain bermain satu perlawanan latihan sekurang-kurangnya antara 30, 60 atau kadang-kadang 90 minit.

“Saya berikan mereka peluang untuk tunjukkan persembahan (yang baik) kepada saya dan pemain-pemain lain,” katanya.

Jurulatih Jepun itu turut mendedahkan barisan pemain baharu Selangor akan melalui sesi latihan taktikal sebelum bertolak ke Thailand.

Ini bagi memudahkan pemain baharu seperti Picha Autra memahami taktikal termasuk perubahan yang dibawa Kinoshi semasa perlawanan.

“Kita juga kena bina keserasian antara pemain-pemain. Jadi, kita akan ada beberapa perlawanan di sana.

“Sebelum kita berangkat ke Thailand, kita akan ada latihan taktikal untuk mencipta keserasian antara pemain baharu dengan taktik kita,” tambahnya.

Ini bukan kali pertama Selangor memilih Thailand sebagai destinasi pra-musim. Negara Gajah Putih itu terus menjadi pilihan aksi pra-musim Merah Kuning untuk musim 2023 dan musim 2024/25.