Bekas pemain Selangor, Razman Roslan cadang satu nama pemain Selangor yang layak dipanggil pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon untuk bersama Harimau Malaya.
Dalam segmen Nindia Bola di Astro Arena, Razman menjelaskan bahawa Kim Pan-gon miliki masa yang cukup untuk memilih pemain yang layak diserap ke kem kebangsaan. Bagi Razman, pemain yang cemerlang bersama pasukan sememangnya layak untuk dipanggil.
“Kim Pan-gon ada masa hampir dua bulan untuk melihat dan menilai pemain-pemain. Kita tak kata perlu bawa pemain yang sama atau pemain baru, tapi kita nak lihat dia (Kim Pan-gon) membawa pemain yang cemerlang dalam liga.”
“Itu yang paling penting sebab saya rasa pemain yang cemerlang di kelab sudah pasti bersedia bersama skuad kebangsaan. Jadi kalau ada pemain baru yang sudah memberi impak kepada kelab, saya rasa wajarlah dipanggil,” ujar Razman.
Razman dalam pada itu turut mencadangkan pertahanan Selangor, Harith Haiqal untuk dipanggil Kim Pan-gon menyertai kejohanan Pestabola Merdeka kali ini.
“Saya rasa Azam Azmi, Sikh Izhan juga beraksi cemerlang. Harith Haiqal bersama Selangor juga konsisten beraksi dalam kesebelasan utama pasukan. Mungkin pemain-pemain ini boleh diberi peluang,” kata Razman.
Harimau Malaya bakal berdepan tiga pasukan pada edisi Pestabola Merdeka kali ini iaitu juara bertahan, Tajikistan, Lebanon dan Filipina.
Malaysia menganjurkan kejohanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang dilangsungkan ketika Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA iaitu pada 2 hingga 10 September 2024. Kejohanan berprestij ini bakal diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.