Bekas pertahanan kebangsaan, Razman Roslan merasakan kehilangan tonggak penting di jentera tengah membuatkan prestasi pasukan Terengganu dilihat mula merudum.
Anak didik Badrul Afzan ketika ini sah bakal menamatkan aksi Liga Super di tempat ke-5 meskipun masih berbaki satu lagi perlawanan setelah tumbang 1-0 di tanga PDRM pada Sabtu lalu.
Malah, keputusan di Selayang itu menyaksikan Terengganu sudah pun mencatatkan 7 kekalahan dalam aksi Liga Super musim ini, dua kekalahan berturut-turut dalam tempoh satu minggu.
Menurut Razman, prestasi pasukan Terengganu sepatutnya lebih baik pada musim ini dengan penambahan dua pemain kebangsaan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid namun itu tak berlaku.
”Terengganu pada musim ini didatangi Akhyar Rashid serta Safawi Rasid dan sepatutnya lebih baik berbanding sebelum ini,” ujar Razman Roslan.
Tambah beliau, aksi kurang konsisten pasukan Peteh dilihat berpunca dari kehilangan tonggak tengah yang memainkan peranan cukup besar di awal musim ini iaitu pemain import, Marin Pilj.
”Tetapi saya rasa faktor utama yang ramai tak sedar adalah pasukan Terengganu ini kehilangan seorang pemain tengah yang memainkan peranan cukup besar iaitu Marin Pilj,” kata beliau di rancangan Nindia Bola.
Razman yang juga bekas pemain kebangsaan melihat impak Pilj cukup berbisa di awal musim namun sejak penghijrahan pemain Croatia itu, persembahan Terengganu tampak mula menurun.
”Awal musim, beliau (Marin Pilj) beraksi dengan baik bersama Manny Ott serta Nurillo (Tukhtasinov) tapi pada pertengahan, kehilangan dia menampakkan penurunan aksi Terengganu,”
Untuk rekod, Pilj tiba di Terengganu pada awal musim ini dan mencatatkan 16 penampilan, dua jaringan serta satu bantuan gol sebelum berhijrah ke HNK Vukovar 1991 di Croatia.
Kini, Terengganu berdepan ujian terakhir sebelum Liga Super berakhir dengan melayani kunjungan Kedah pada 19 April di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.