Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan percaya ketiadaan peledak prolifik memberi impak besar kepada Terengganu FC.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat Peteh kecundang 2-1 di tangan KL City FC baru-baru ini.
Terengganu pada awalnya mendahului menerusi Safwan Mazlan. Walau bagaimanapun, Paulo Josue dan Patrick Reichelt memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan Lembahk Klang itu.
Razman melihat penyerang-penyerang Peteh sedia ada tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaring terbanyak mereka pada musim 2023, Ivan Mamut.
“Sebagai penyerang, jaringan itu amat penting. Ramai penyokong membandingkan Terengganu pada musim ini dengan Terengganu pada musim lepas.
“Musim lepas, mereka mempunyai (Ivan Mamut) penyerang prolifik yang boleh menjaringkan gol dengan kepala dan kaki.
“Seorang penjaring yang sangat tajam di depan gol. Dan dibantu pula dengan Sony Norde di bahagian kiri, beliau sentiasa akan melakukan gelecekan dan mencipta peluang untuk Ivan Mamut sendiri,” katanya semasa menjadi panel Arena Bola.
Razman percaya ketiadaan Mamut akibat kecederaan menggugat perancangan Terengganu untuk menghadapi musim 2024/25.
“Berbeza dengan musim ini di mana Ivan Mamut mengalami kecederaan. Dan Akinade masuk menggantikan Ivan Mamut. Tapi kita boleh katakan banyak perbezaan antara Akinade dengan Ivan Mamut,” tambahnya.
“Kemasukan Safawi (Rasid) dan Akhyar (Rashid) menambah sengat serangan Terengganu sebenarnya. Kita nampak kombinasi itu ada, kadang-kadang Akinade di bahagian kanan dan Safawi di bahagian tengah.
“Pertukaran posisi itu ada tetapi masih lagi kekurangan sentuhan akhir iaitu jaringan. Ada jaringan tetapi tidak cukup untuk pasukan besar seperti Terengganu.”
Ini turut disokong statistik jaringan. Peteh hanya menjaringkan 23 gol setakat ini untuk musim 2024/25 berbanding 45 gol untuk musim 2023.
Kelibat penyerang Croatia itu dijangka ditagih Peteh sekurang-kurangnya sebelum musim 2024/25 berakhir. Ini kerana Mamut dilaporkan bakal kembali berlatih pada Mac ini.