Aksi tunggal Liga Super pada Jumaat menyaksikan KL City mengejutkan Terengganu di hadapan ribuan peminat lawan.
Pertemuan di Gong Badak kali ini dilihat begitu penting untuk kedua-dua kelab dengan Terengganu mahu membina semula momentum setelah terkeluar di peringkat kumpulan Shopee Cup.
Begitu juga dengan KL City yang turut tersingkir malah lebih teruk lagi apabila anak-anak buah Miroslav Kuljanac ini masih kempunan meraih kemenangan dalam 6 perlawanan terakhir.
Safawi Rasid dan juga Akhyar Rashid kekal membarisi senarai kesebelasan utama Terengganu tatkala KL City pertaruhkan khidmat Haqimi Azim serta Paulo Josue di jentera serangan.
Tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol jarak jauh daripada Safwan Mazlan di minit ke-15 permainan setelah berjaya menewaskan Hafizul Hakim di pintu gawang KL City.
Hasrat Terengganu untuk kembali ke bilik persalinan tanpa bolos tidak kesampaian apabila Paulo Josue menyamakan kedudukan 1-1 hasil kesilapan Safwan Mazlan ketika masa tambahan.
Separuh masa pertama tamat, Terengganu 1-1 KL City.
Kembali dari rehat, Terengganu mulakan aksi dengan asakan dan serangan bertali arus ke arah kubu KL City yang diketuai oleh Giancarlo Gallifuoco namun hanya hampa dan kecewa.
Ketika Sang Penyu rancak menyerang, KL City hadir dengan jaringan kemenangan di minit ke-79 apabila Patrick Reichelt bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menembusi pintu gol Terengganu.
Aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berakhir dengan keputusan 2-1 memihak KL City.