Terengganu terpaksa akur terlepas tiket ke separuh akhir Shopee Cup setelah tumpas di tangan BG Pathum.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi penting meraih 3 mata untuk memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir dengan BG Pathum mendahului kumpulan A diikuti Terengganu.
Gandingan Ikhsan Fandi serta Raniel menjadi taruhan BG Pathum di jentera serangan manakala Terengganu dibarisi duo pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Tiada sebarang jaringan tercipta di babak pertama dengan tuan rumah tampak lebih banyak menguasai bola di kotak penalti Terengganu namun gagal menyudahkan peluang.
Separuh masa pertama tamat, BG Pathum 0-0 Terengganu.
Babak kedua menyaksikan Terengganu terlebih dahulu di hadapan menerusi gol Akhyar Rashid yang bijak melepasi pertahanan BG Pathum sebelum melepaskan percubaan kaki kanan.
Walau bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila penyerang BG Pathum, Raniel mencetak dua gol dalam tempoh 6 minit bagi Terengganu kembali ketinggalan.
Dua lagi jaringan menerusi Gakuto Notsuda dan Ilhan Fandi di penghujung permainan meletakkan BG Pathum berada di kedudukan selesa untuk mara ke separuh akhir Shopee Cup.
Safawi Rasid sempat meledak dua gol di masa tambahan namun sudah terlambat untuk Terengganu akhirnya akur tewas kepada BG Pathum.
Aksi di Stadium BG berakhir dengan keputusan 4-3 memihak BG Pathum.
Kekalahan ini menyaksikan Terengganu mengakhiri kempen Shopee Cup di tangga ketiga setelah PSM Makassar meraih kemenangan dan memintas kedudukan skuad Sang Penyu.