Aksi Shopee Cup antara BG Pathum vs Terengganu bakal menjadi hangat dengan tumpuan ke arah 5 pemain ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi besar meraih 3 mata untuk layak ke separuh akhir dengan BG Pathum ketika ini memimpin carta kumpulan A diikuti Terengganu di tempat kedua.
Berdasarkan prestasi semasa, BG Pathum dilihat memiliki kelebihan apabila merekodkan 5 perlawanan tanpa kalah sebelum ini dalam kesemua kejohanan yang telah disertai.
Manakala Terengganu yang di bawah kendalian oleh Badrul Afzan tumbang 3 kali berturut-turut kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia.
Di sebalik kehangatan aksi antara BG Pathum vs Terengganu ini, 5 pemain ini bakal menjadi fokus utama para penyokong bagi kedua-dua pasukan.
1- Manual Ott
Jeneral tengah Terengganu, Manuel Ott dijangka akan diberi peranan besar mengawal tempo permainan dan memulakan serangan serta asakan ke arah kawasan BG Pathum.
Kelebihan Ott melakukan percubaan jarak jauh pasti ditagih andai pasukan lawan terus kebal pertahan dan ini dibuktikan dengan 4 gol yang dijaringkan oleh pemain Filipina sebelum ini.
2- Ubaidullah Shamsul
Ketiadaan Alif Zakaria di bek kiri akan memaksa Badrul Afzan untuk merangka strategi baharu dengan Ubaidullah Shamsul dilihat calon berpotensi untuk mengisi kekosongan itu.
Ubaidullah, 21 tahun dilihat mampu beraksi di pelbagai posisi selain berkebolehan menggerakkan serangan dan dibuktikan dengan satu bantuan jaringan ketika menentang JDT lalu.
3- Safawi Rasid
Nama Safawi Rasid pastinya bakal menjadi sasaran utama BG Pathum untuk diawasi oleh kerana pemain sayap ini memiliki gerakan dan penyudah yang berbisa terutamanya menerusi kaki kirinya.
Berdasarkan statistik, Safawi kini sudah meledak 4 jaringan di pentas Shopee Cup musim ini dan aksi terakhir bertemu PSM Makassar turut menyaksikan beliau menjaringkan gol hasil sepakan penalti.
4- Raniel
Penyerang import dari Brazil ini dijangka bakal mengetuai jentera serangan BG Pathum sambil dibantu oleh gerakan dan kreativiti di bahagian tengah yang diterajui Chanatip Songkrasin.
Prestasi Raniel dalam saingan Shopee Cup ini dilihat dalam momentum terbaik apabila telah merekodkan 2 gol dalam 4 perlawanan sebelum ini dan bisa pemain berusia 28 ini akan ditagih.
5- Kritsada Kaman
Tonggak tengah Thailand, Kritsada Kaman merupakan nadi pasukan BG Pathum dalam membantu benteng pertahanan dan merencana serangan awal untuk memburu jaringan
Secara keseluruhan, Kritsada sudah pun beraksi selama 234 minit dalam kesemua 4 perlawanan awal peringkat kumpulan Shopee Cup sebelum ini dan dijangka akan diturunkan sekali lagi.
Aksi BG Pathum vs Terengganu akan berlangsung pada Rabu, 5 Februari dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.30 malam ini.