Razman Roslan Lihat CAFA Nations Cup Ujian Awal Ke Piala Asia
MakanBola
PFA Malaysia

Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan melihat saingan CAFA Nations Cup sebagai ujian awal Harimau Malaya sebagai persiapan ke Piala Asia 2027.

Pandangan itu dibuat bekas orang besi Selangor FC itu bila diminta mengulas laporan penyertaan Malaysia dalam kejohanan itu.

Sebelum ini, skuad negara dan Oman dilaporkan menjadi pasukan jemputan yang akan memeriahkan saingan CAFA Nations Cup untuk edisi 2025 pada Ogos ini.

“Mungkin ada yang beranggapan pertemuan dengan Laos boleh dianggap agak mudah selepas kemenangan ke atas Vietnam.

“Kita perlu lihat jauh ke depan kerana Harimau Malaya akan bertemu pasukan yang lebih baik. Mengapa tidak skuad negara membuat persiapan awal untuk menghadapi Piala Asia.

“Kita harus puji dan beri sokongan kepada usaha FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) ini,” katanya seperti yang dilaporkan Stadium Astro.

Razman turut melihat aksi menentang pasukan-pasukan dari Asia Tengah dilihat medan terbaik mengukur persembahan Harimau Malaya.

Ini dijangka menyuntik motivasi para pemain untuk tampil lebih cemerlang dalam baki aksi kelayakan Piala Asia 2027.

“Satu pendedahan yang sangat baik untuk skuad kebangsaan bagi meneruskan aksi dalam kelayakan Piala Asia.

“Pasukan besar akan melihat kebangkitan negara dan ia akan menjadi satu motivasi tambahan kepada skuad kebangsaan apabila dapat beraksi dengan pasukan yang di ranking lebih baik.

“Mungkin pasukan dapat memperbaiki kelemahan dan meneruskan persembahan dalam perlawanan akan datang,” ujarnya.

Harimau Malaya kini mengetuai Kumpulan F dengan enam mata selepas meraih dua kemenangan. Skuad negara akan menentang Laos untuk aksi kelayakan seterusnya pada Oktober ini.