Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan mengakui gembira melihat Danial Amier Norhisham kembali berada dalam radar Harimau Malaya.
Danial diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya ada pemain dalam senarai 26 pemain yang dipanggil Pau Marti Vicente terpaksa disisihkan akibat kecederaan atau masalah lain.
Selain beliau, turut tersenarai dalam senarai sama ialah Sergio Aguero, Shahrul Nizam Ros Hasni, Sharul Nazeem Zulpakar dan Sikh Izhan Nazrel.
Manakala Jafri Firdaus Chew, Stuart Wilkin, Hong Wan, Shahrul Saad, Declan Lambert dan Brendan Gan melengkapkan senarai pemain bersedia yang dipanggil Pau Marti.
Razman percaya Danial kembali mengecapi prestasi terbaik selepas menyertai Kuching City FC secara pinjaman pada awal musim 2024/25. Ini dibantu bukan saja dengan minit permainan yang kerap tetapi juga bimbingan daripada jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak.
Razman percaya sekiranya Danial kekal konsisten bersama Kuching City, beliau percaya namanya akan tersenarai dalam skuad Harimau Malaya seterusnya.
“Betul. Nampak dia sangat menikmati permainan bola sepak sekarang. Berada dalam pasukan yang memberi dia peluang untuk bermain, dapat menunjukkan kredibiliti dia sebagai pemain tengah.
“Saya rasa dia sedang meningkat naik. Mungkin kali ini diletakkan dalam senarai menunggu. Akan datang, tak mustahil dia berada dalam panggilan skuad akan datang. Dia kena terus permainan konsisten dalam liga,” katanya semasa menjadi panel Nindia di Astro Arena baru-baru ini.
Danial merekodkan lapan penampilan, satu gol dan satu bantuan gol bersama The Cats berdasarkan data terkini Transfermarkt. Beliau pernah mewakili skuad negara sebanyak dua kali pada 2019.