“Rekaan Terkini, Ini Ihsan Daripada Penaja” -Setiausaha MOM
UltraSukan
Olympic Malaysia

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib memaklumkan rekaan pakaian kontinjen Sukan Olimpik 2024 negara berdasarkan rekaan terkini.

MOM memperkenalkan pakaian kontinjen Olimpik negara berupa baju berkolar, baju T dan jaket dalam satu majlis sempena Hari Olimpik Malaysia di The Exchange TRX pada 23 Jun lalu.

Sejak diperkenalkan kepada orang ramai, imej pakaian berkenaan mendapat pelbagai maklum balas terutama daripada peminat sukan tanah air.

Ramai peminat sukan negara tidak berpuas hati dengan reka bentuk pakaian yang dihasilkan Yonex yang disifatkan buruk, terkebelakang dan tidak menaikkan semangat.

Nazifuddin memaklumkan rekaan pakaian kontinjen Olimpik Malaysia dibuat berdasarkan rekaan semasa meskipun berdepan kekangan tertentu.

Malah, MOM dan Yonex telah membuat pertimbangan berkenaan rekaan tersebut dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk kos.

“Sebenarnya kita tertakluk kepada apa yang penaja boleh berikan dalam keadaan pengehadan tertentu dan ia (juga) bergantung dengan bajet. Kalau nak terbaik atau premium, itu menjadi faktor kos kepada penaja jadi ia perlu dipertimbangkan.

“Ini bukan peruntukan daripada kerajaan atau wang daripada siapa-siapa, tetapi ihsan daripada penaja,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Nazifuddin turut memaklumkan pakaian kontinjen yang diperkenalkan pada 23 Jun lalu itu hanya digunakan untuk perjalanan ke tempat pertandingan. Ini kerana pakaian yang akan digunakan untuk upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 berbeza sama sekali.

Pada masa sama, MOM juga akan mengambil kira pandangan setiap pemegang taruh termasuk peminat sukan negara sebagai penambahbaikan.

“Untuk sementara ini, pakaian rasmi itu akan digunakan kontinjen ke Paris tetapi pakaian untuk upacara pembukaan berbeza, pakaian rasmi ini cuma untuk digunakan sewaktu temasya dalam perjalanan ke venue pertandingan,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan pemilihan rekaan pakaian kontinjen Olimpik negara di luar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS).