Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil menjelaskan isu pakaian yang akan digunakan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Isu pakaian kontinjen Olimpik negara timbul sebaik saja diperkenalkan kepada umum oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam Majlis Pelancaran Hari Olimpik Malaysia di The Exchange TRX pada 23 Jun lalu.
Ramai peminat sukan negara meluahkan rasa tidak puas hati melihat kualiti rekaan pakaian yang dihasilkan oleh Yonex itu.
Ini kerana rekaan yang dipilih bukan saja buruk. Malah, ramai kurang berpuas hati melihat warna Jalur Gemilang diwarnakan mengikut warna pakaian iaitu kuning dan hitam berbanding warna asal bendera berkenaan.
Ini menyebabkan ramai orang memohon Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengambil tindakan ke atas isu ini.
Hannah kemudiannya memaklumkan reka bentuk pakaian kontinjen negara terletak di bawah bidang kuasa MOM dan bukannya KBS.
“Perlu dijelaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan tidak memutuskan reka bentuk pakaian rasmi untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris kerana ia adalah di bawah bidang kuasa MOM.
“Penentuan pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik adalah bidang kuasa MOM selaku Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (National Olympic Committee) yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (International Olympic Committee) sejak 1954,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan sebarang kelulusan berkenaan reka bentuk pakaian itu dibuat oleh Lembaga Pengarah MOM.
Ini kerana reka bentuk pakaian kontinjen negara disediakan oleh Yonex selaku penaja rasmi badan induk tersebut.
“Pakaian rasmi Kontinjen Malaysia disediakan oleh syarikat Yonex yang mempunyai kontrak selaku penaja rasmi MOM dan reka bentuknya diluluskan oleh Lembaga Pengarah MOM yang mengambil inisiatif menggunakan rekabentuk baru khas bagi temasya di Paris nanti,” tambahnya.
Kontinjen negara kini sibuk mengatur persiapan ke Sukan Olimpik 2024. Temasya sukan berprestij itu bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.