Rekod 5 Pertemuan Terakhir Kedah vs Selangor Curi Tumpuan
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Rekod lima pertemuan sebelumnya membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC mencuri tumpuan penyokong.

Berdasarkan rekod semasa, Merah Kuning memiliki kelebihan kerana menang empat daripada lima aksi sebelumnya dengan Sang Kenari.

Ini termasuk aksi kedua liga membabitkan kedua-dua pasukan itu di Stadium MBPJ pada 18 Mei lalu. Aksi tersebut berkesudahan dengan kemenangan 1-0 buat tuan rumah menerusi Aliff Haiqal Lau.

Kedah mengharapkan aura penyokong dapat membantu mereka mengalahkan Selangor di Stadium Darul Aman buat kali pertama sejak 2022. Aksi pada 14 September 2022 itu menyaksikan Sang Kenari meraih kemenangan 3-1 ke atas Merah Kuning.

Ronald Ngah, Marc Vales dan Fayadh Zulkifli mencipta nama sebagai penjaring Kedah. Manakala Herlison Caion menyumbat gol saguhati buat Selangor.

Kedua-dua pasukan juga bakal didorong dengan keinginan kembali meraih kemenangan. Ini selepas Selangor dan Kedah masing-masing tewas dalam aksi terbaru liga.

Rekod enam perlawanan tanpa kalah Selangor lebur apabila pasukan itu tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 27 Oktober lalu.

Manakala Kedah pula terpaksa akur dengan kehebatan Sabah apabila tewas 5-2 di Stadium Likas. Dua gol Joao Pedro membantu Sang Badak merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut.

Atas sebab itu, pertembungan Sang Kenari dan Merah Kuning di Stadium Darul Aman pada 2 November ini bakal menjanjikan aksi menarik buat penyokong kedua-dua pasukan.