Advertisements
Joao Pedro Tutup Kehilangan Ramon Machado Di Sabah
Liga Super
MakanBola
Sabah FC

Sengat penyerang baru Sabah FC dari Brazil, Joao Pedro menggembirakan penyokong Sabah selepas menyertai pasukan itu pada September lalu.

Sebelum ini, ramai penyokong Sang Badak bimbang penyerang berusia 24 tahun itu tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan senegara, Ramon Machado.

Ini disebabkan Pedro hanya menjaringkan dua gol dalam 12 penampilan semasa bersama bekas kelabnya di Vietnam, Viettel.

Ini sama sekali berbeza dengan Machado yang menjaringkan 18 gol daripada 27 penampilan bersama Sabah dari 2023 hingga 2024 mengikut data Transfermarkt. Bisa bekas penyerang Regensburg itu turut membantu Sabah layak ke peringkat separuh akhir zon Piala AFC 2023/24.

Kini, kerisauan penyokong hilang apabila melihat Pedro semakin menyerlah bersama Sang Badak. Ini selepas penyerang Brazil itu meledakkan empat gol dalam Liga Super setakat ini.

Ini termasuk dua gol yang dijaringkan dalam kemenangan 5-2 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Likas pada 29 Oktober lalu.

Selain Pedro, S. Kumaahran, Gary Steven Robbat dan Saddil Ramdani mencetak nama sebagai penjaring. Sang Kenari membalas menerusi Jose Cleylton dan Milos Gordic.

Kemenangan ini menyaksikan Sabah terus mengukuhkan cengkaman di tempat ketiga dengan 23 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.

Bisa Pedro dijangka ditagih jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee untuk aksi liga seterusnya dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 3 November ini.