Indonesia meneruskan rekod buruk tanpa kemenangan ke atas Australia sejak 43 tahun yang lalu selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam aksi kedua pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Selasa.
Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Indonesia tampil garang dengan beberapa kali berjaya mengancam gawang Australia yang dijaga ketat, Mathew Ryan.
Penjaga gol Indonesia, Maarten Paes turut mempamerkan kecemerlangan dengan aksi-aksi menyelamat dalam memastikan gawang Indonesia tidak dibolosi.
Keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan itu menjadikan rekod 43 tahun tanpa kemenangan Indonesia ke atas Australia berterusan selepas kali terakhir Indonesia memenanginya adalah pada 1981.
Untuk rekod, Indonesia hanya meraih satu kemenangan, empat kali seri dan 15 kali tewas dalam 20 pertemuan menentang Australia.
Daripada 20 pertemuan yang direkodkan, Indonesia sudah dibolosi 41 kali dengan hanya 8 jaringan berjaya dicatatkan.
Biarpun Australia jauh di ranking ke-24 dunia berbanding Indonesia yang berada di ranking ke-134 dunia (kedudukan yang belum dikemaskini FIFA), namun pemain Indonesia mempamerkan semangat juang yang tinggi dan menyekat kemenangan Australia.