‘Reunion’ Jurulatih Phnom Penh Crown & Aidil Sharin Selepas Sedekad
MakanBola
PPC/KCFC

Aksi pertama Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) antara Phnom Penh Crown dan Kuching City FC dilihat bukan saja medan buat kedua-dua pasukan meraih tiga mata awal.

Malah, aksi ini turut menemukan semula dua rakan lama iaitu jurulatih Phnom Penh, Oleg Starynskyi dan jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak.

Starynskyi mendedahkan kedua-duanya saling mengenali sejak tahun 2017. Pada ketika itu, Aidil merupakan jurulatih Home United (kini Lion City Sailors (LCS).

Jurulatih Ukraine itu mengikuti rapat perkembangan Aidil dan menganggap beliau sebagai jurulatih berkualiti. Starynskyi berpandangan sedemikian kerana jurulatih Singapura itu sentiasa membantu melonjakkan prestasi mana-mana kelab yang dibimbingnya.

“Sebenarnya, Coach Aidil dan saya bertemu buat kali pertama pada 2017. Pada ketika itu, beliau merupakan jurulatih Home United. Anda boleh bayangkan (perkara ini berlaku) 10 tahun lalu.

“Sekarang kita bertemu lagi di peringkat antarabangsa (saingan ACL2). Saya anggap beliau seorang jurulatih yang profesional, mana-mana kelab yang dibimbing beliau menunjukkan prestasi baik dan berjaya,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Starynskyi turut menganggap Kuching City sebagai lawan yang sukar menjelang aksi pertama kumpulan pada Khamis. Beliau berpandangan sedemikian kerana pasukan itu cukup agresif dan gemar menguasai bola.

“Dan Kuching dilihat pasukan yang menunjukkan prestasi cemerlang dan ramai peminat akan mengesahkannya. Ini hasil kerja beliau, pasukannya suka bermain bola dan agresif. Ini satu pasukan yang mantap dan menghiburkan,” tambahnya.

Phnom Penh dijangka menggunakan barisan bintang import untuk menggugat Kuching City. Antaranya Daniel Bares, Callum Timmins, Riku Matsuda dan Rick Ketting.