Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui bahawa pasukannya mengharungi aksi sukar bertemu Ratchaburi FC.
Wakil tunggal Malaysia dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) itu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Ratchaburi, Thailand, malam Selasa. Mereka tidak berjaya mempertahankan kelebihan satu gol yang diraih pada babak pertama. Jaringan Marcos Guilherme pada minit ke-36 dibalas oleh Njiva Rakotoharimalala pada minit ke-56, dan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.
Munoz mengakui skuadnya berdepan cabaran getir di tempat lawan menentang Ratchaburi FC. Menurut beliau, rentak permainan turun naik sepanjang 90 minit, dan tahap saingan di peringkat Asia menuntut lebih daripada sekadar menguasai bola.
“Ia satu perlawanan yang sukar buat kami. Ada kalanya kami mengawal permainan tetapi ada juga masa kami hilang kawalan. Pada pentas ACLE, cabaran memang sukar kerana intensiti dan tahapnya berbeza.
“Pada akhirnya, kami berjaya mendapatkan satu mata dan sudah pasti mahu menambah baik menjelang aksi berikutnya di laman sendiri dan di hadapan penyokong sendiri.”
Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga kecewa dengan penyudah anak buahnya yang tumpul. Jaringan awal Joao Figueiredo dibatalkan kerana ofsaid pada minit kelapan.
Sepakan percuma Oscar Arribas pada minit ke-69 dan tandukan Stoichkov pada masa kecederaan pula tidak menemui sasaran. Jurulatih berusia 46 tahun itu menegaskan bahawa kelemahan tersebut menjadi keutamaan untuk dibaiki.
“Sudah pasti kita akan perbetulkan beberapa perkara terutamanya ketika pasukan ada peluang untuk menjaringkan gol dan merapatkan jurang.
“Barisan kejurulatihan akan memperbetulkan situasi ini kerana apabila kita ada peluang sama ada tiga lawan dua atau empat lawan satu, sepatutnya kita boleh menghabiskan perlawanan,” tambahnya selepas perlawanan menurut SNE Sports.
Keputusan itu mengekalkan Harimau Selatan di tangga ketujuh carta Zon Timur dengan lapan mata daripada lima perlawanan, iaitu dua menang, dua seri dan satu kalah.
Mereka masih dalam kelompok lapan terbaik yang layak ke pusingan 16. Juara Liga Super itu akan kembali ke Stadium Sultan Ibrahim untuk menentang wakil Korea Selatan, Daejeon Hana Citizen dalam aksi keenam ACLE pada Selasa, 1 Disember ini, jam 8.15 malam waktu Malaysia.


