Legenda Portugal, Ricardo Quaresma dan Joao Tomas sudah tiba di Kedah untuk aksi persahabatan All Star Kedah dan All Star Malaysia pada 3 Mei ini.
Ini selepas pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memuat naik gambar terbaru dua figura berkenaan di platform rasmi mereka hari ini.
“Selamat datang Ricardo Quaresma dan Joao Tomas,” kata pengurusan kelab dalam satu kenyataan ringkas.
Quaresma dan Tomas tiba di Kedah beberapa jam lalu. Sebaik tiba, bekas pemain sayap Barcelona itu sempat bergambar bersama penyokong yang sabar menanti di lapangan terbang.
Quaresma dan Tomas dijangka beraksi mewakili All Star Kedah dalam aksi persahabatan tersebut.
All Star Kedah turut menampilkan legenda Sang Kenari seperti Baddrol Bakhtiar, Nelson Sam Martin, Ooi Hoe Guan dan Victor Andrag.
All Star Malaysia pula bakal menampilkan legenda Harimau Malaya seperti Amri Yahyah, Syazwan Zainon, Manzoor Azwira Abdul Wahid dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Indra Putra Mahayuddin.
Quaresma dijangka menjadi tonggak import baharu Kedah bagi menghadapi kempen musim 2025/26. Tomas pula dijangka menggalas peranan sebagai Pengarah Teknikal Kedah yang baharu.